Nadi X Kesedaran: Taklimat Berita Palsu Sesi Jun 2026

15 Jun 2026 | Aktiviti Terkini

Pada 14 Jun 2026 (Ahad) – Seramai enam orang peserta yang terdiri daripada kanak-kanak dan orang dewasa telah menghadiri sesi rakaman Webinar NADI x Awareness: Kempen Internet Selamat (KIS) – Taklimat Berita Palsu yang diadakan di NADI Bengoh pada hari Ahad, 14 Jun 2026, bermula jam 11.00 pagi.

Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Kempen Internet Selamat yang bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya penyebaran berita palsu serta kepentingan menjadi pengguna digital yang bertanggungjawab. Sesi asal webinar telah berlangsung pada 11 dan 12 Jun 2026 secara dalam talian, manakala peserta di NADI Bengoh mengikuti sesi rakaman bagi memastikan mereka turut mendapat manfaat daripada perkongsian yang disampaikan.

Sepanjang sesi, peserta didedahkan kepada pelbagai maklumat berkaitan pengenalpastian berita palsu, kaedah menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum dikongsi, serta langkah-langkah mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penyebaran maklumat tidak benar di platform digital. Mereka juga diberikan panduan untuk menggunakan sumber yang dipercayai bagi mengesahkan sesuatu berita atau maklumat yang diterima.

Program yang terbuka kepada semua peringkat umur ini berjaya menarik minat peserta daripada pelbagai latar belakang. Kehadiran peserta kanak-kanak dan orang dewasa menunjukkan kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan komuniti terhadap kepentingan literasi digital dan keselamatan internet.

Melalui penganjuran program seperti ini, NADI Bengoh berharap dapat melahirkan masyarakat yang lebih peka, berfikiran kritis dan bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial serta teknologi digital. Peserta turut digalakkan untuk mengamalkan konsep “Semak, Sahkan dan Jangan Sebarkan Jika Tidak Pasti” bagi membantu membendung penularan berita palsu dalam komuniti.

Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan:

Kembali Ke Atas

kembali